Raja Muda Perlis ajak rakyat sokongan produk buatan Malaysia - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis ajak rakyat sokongan produk buatan Malaysia

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil meninjau barangan yang dijual di Pasar Raya Giant selepas melancarkan program KJM 2020 dan KBBM di Kangar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat  menyokong barangan tempatan dalam melonjakkan kembali permintaan domestik yang terkesan daripada penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia termasuk negara ini.

Titah baginda, Kempen Jualan Malaysia (KJM) 2020 dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dilancarkan di negeri ini bertujuan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan tempatan.

“Usaha ini membantu sektor perniagaan menghadapi kesan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) selain menjadikannya sebagai usaha berterusan mempromosikan barangan buatan Malaysia yang memiliki kualiti yang cukup baik,” titah baginda.

Terdahulu Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan majlis pelancaran KJM 2020 dan KBBM peringkat negeri ini di ruang legar Pasar Raya Giant di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menghadiri program anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis itu.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengarah KPDNHEP negeri, Norazah Jaapar.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berharap peniaga dan usahawan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat memperluaskan promosi barangan mereka di platform digital antaranya Shopee dan Lazada bagi menarik minat rakyat berbelanja.

“Saya berharap KBBM juga dapat meningkatkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat terhadap perkhidmatan dan barangan buatan Malaysia. 

“Pada masa yang sama membantu para pengusaha tempatan terutamanya di Perlis memasarkan produk serta perkhidmatan mereka selain mengembalikan keyakinan para pengguna untuk keluar berbelanja, seterusnya meningkatkan perbelanjaan isi rumah,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya