KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,300 kamera badan dan 1,000 senjata tidak membawa maut (non-lethal weapon (NLW) dipohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, pihaknya memutuskan untuk menggunakan kedua-dua peralatan berkenaan secara menyeluruh melibatkan pegawai dan anggota ketika melaksanakan tugas harian.
Ujarnya, dua jenis pistol telah dikenal pasti tidak membawa maut iaitu pistol perenjat elektrik dan ‘net gun’.
“Bagi kamera badan polis, kita sudah beli pada 2014 untuk percubaan dan kita dapati ia amat berguna, jadi kita putuskan untuk mencadangkan 1,300 unit kamera badan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Rosli memberitahu, pistol perenjat elektrik akan digunakan dalam keadaan tertentu terutama berdepan dengan individu agresif atau mengamuk misalnya di bawah pengaruh dadah.
“Bagi kamera badan ia bagi memastikan anggota bersikap telus selain menolak persepsi negatif masyarakat terhadap pegawai dan anggota polis.
“Ia juga mampu mengelak tuduhan selain dapat membuat pemantauan kepada anggota dan pegawai polis yang bertugas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rosli menambah, bagi memastikan integriti polis pada peringkat tertinggi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokap-lokap polis sudah dilaksanakan.
“CCTV berkenaan sudah dipasang di 28 lokasi membabitkan perbelanjaan sebanyak RM6.3 juta setahun. Melalui inisiatif Pusat Governans, Integriti, dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dengan peruntukan RM30 juta, penambahan sebanyak 684 lokasi sudah dirancang pada tahun ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE