Pesta 'lampu merah' kembali - Utusan Malaysia

Pesta ‘lampu merah’ kembali

JALAN Gua Musang-Kuala Krai mula sibuk apabila deretan kenderaan perantau memasuki Kelantan untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang kebiasaannya gelap pada sebelah malam, bagaikan berpesta ‘lampu merah’ apabila deretan kenderaan perantau mula memasuki Kelantan untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia malam ini mendapati, bilangan kenderaan di sepanjang pintu masuk utama dari arah selatan negeri ini meningkat sejak pagi dan semakin sesak menjelang lewat petang hingga sekarang.

Laluan berkenaan dijangka bertambah sesak sehingga malam kemuncak sehari sebelum Aidiladha yang bakal disambut umat Islam, Jumaat ini.

Peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya negeri ini dijangka berlaku kerana ramai yang mahu ‘lepas geram’ menyambut Aidiladha di kampung selepas terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seorang guru dari Raub, Pahang, Hafiza Mahmud, 34, berkata, tahun ini dia memilih pulang beraya di Kuala Krai, dua hari sebelum Aidiladha.

“Saya bertolak dari Raub kira-kira pukul 10 pagi ini tetapi berhenti di beberapa lokasi sebelum berehat sebentar di bandar Gua Musang pada pukul 5 petang ini.

“Saya bersyukur tiba dengan selamat di bandar ini tetapi tidak pasti berapa jam perjalanan lagi untuk tiba di kampung di Kuala Krai,” katanya.

Seorang lagi perantau, Mohd. Rahimin Mohd Noor, 48, berkata, suasana perjalanan pulang untuk menyambut Aidiladha kali ini dirasakan berbeza kerana mereka tidak dapat beraya di kampung ketika 1 Syawal lalu ekoran PKP.

Katanya, tempoh cuti singkat hanya dua hari sebelum hari raya menyebabkan pengguna pulang pada saat-saat akhir dan keadaan itu dijangka menyebabkan berlakunya kesesakan luar biasa.

“Aliran trafik setakat ini masih lancar walaupun perlahan dan hanya sesak apabila tiba di persimpangan lampu isyarat.

“Pengguna jalan raya diharap dapat menggunakan beberapa jalan alternatif bagi mengelak mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sebanyak 100,000 kenderaan dianggarkan memasuki Kelantan mulai semalam sehingga hari pertama Aidiladha. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya