Peniaga hadapi 15 tuduhan penggubahan wang haram - Utusan Malaysia

Peniaga hadapi 15 tuduhan penggubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan aktiviti penyeludupan rokok di sekitar bandar raya ini sejak empat tahun lalu. 

Tertuduh, Chan Wai Sun, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Mengikut 14 pertuduhan, Wai Sun didakwa menggunakan akaun semasa miliknya dan milik syarikatnya sebagai peralatan kesalahan berkaitan dengan perlakuan aktiviti haram. 

Tertuduh turut didakwa menggunakan akaun simpanan tetap miliknya untuk menerima wang sejumlah RM100,000 daripada akaun semasa Public Bank miliknya sebagai peralatan kesalahan berkaitan dengan perlakuan aktiviti haram. 

Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan di tiga bank berasingan di sekitar Ipoh antara 4 Januari 2016 hingga 27 Mei 2019. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama. 

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan. 

Mohd. Fauzi membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap 1 haribulan sehingga kes selesai.  Beliau menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya