JOHOR BAHRU: Lebih 700 pembeli Projek PR1MA Perumahan Residensi Tebrau di sini melahirkan kekecewaan berhubung kelewatan pembinaan 1,284 kediaman jenis pangsapuri yang sepatutnya siap mengikut tarikh ditetapkan.
Menurut pembeli, Hasni Mohni, 38, projek berkenaan gagal siap Januari lalu seperti dijadualkan oleh pemaju.
“Pihak PR1MA telah menghantar e-mel kepada pembeli sebanyak dua kali memaklumkan penundaan tarikh projek berkenaan yang dijangka siap pada Jun dan Oktober ini.
“Sejak bermulanya pembinaan, projek berkenaan beberapa kali terhenti pembinaannya termasuklah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Terbaharu, ia dimulakan semula 1 Jun lalu selepas mendapat kelulusan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika ditemui semasa mengadakan bantahan
bersama beberapa pembeli lain di sini semalam.
Seorang pesara, Norhayati Kayat, 57, turut dukacita apabila impian untuk memiliki rumah seperti yang dijanjikan tidak kesampaian.
Malah, dia yang tinggal di Kampung Melayu Majidee di sini sudah pun membayar 70 peratus dari harga sebenar rumah yang dibelinya RM170,000.
“Saya sudah pun bayar rumah itu lebih RM100,000 daripada duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bakinya tinggal RM70,000.
“Saya sangat kecewa. Sepatutnya saya sudah duduk di rumah sendiri tetapi projek ini tertangguh jadi tidak dapat masuk rumah lagi,” katanya.
Penjawat awam, Nur Hazimah Wahit, 31, menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap permasalahan itu dan pemaju perlu menyiapkan rumah seperti yang dijanjikan.
“Kami tidak mahu janji lagi, kami mahu rumah kami, duit deposit, bayaran bulanan bulanan pun dah kami bayar, enam tahun kami tunggu tapi rumah masih tidak siap,” katanya. – UTUSAN ONLINE