Pelantikan Yamani Hafez lonjak fungsi, imej Felcra - Utusan Malaysia

Pelantikan Yamani Hafez lonjak fungsi, imej Felcra

YAMANI HAFEZ MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad percaya pelantikan Yamani Hafez Musa selaku Pengerusi Felcra Bhd. (Felcra) yang baharu mampu melonjakkan fungsi serta imej agensi itu ke satu tahap yang lebih baik.

Menurut Abd. Latiff, Pengerusi Felcra baharu itu akan memperkenalkan semangat inovasi dan inisiatif tinggi melalui pengalaman meluasnya di sektor korporat.

“Saya percaya dia mampu memperhalusi hala tuju Felcra berdasarkan usaha transformasi yang telah dimulakan oleh pengurusan kanan agensi tersebut.

“Pelantikan ini juga selari dengan visi dan misi kementerian untuk memacu pertumbuhan usahawan tempatan yang berjiwa global sekali gus membawa produk terbaik dari Malaysia ke persada dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Yamani Hafez yang merupakan Ahli Parlimen Sipitang, Sabah dilantik menerajui Felcra berkuat kuasa hari ini.

Tambah Abd. Latiff, dalam usaha menangani cabaran ekonomi terutamanya pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini, usaha yang lebih mantap perlu dilakukan.

“Usaha ini bagi memangkinkan peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat di luar bandar,” katanya.

Abd. Latiff turut mengucapkan tahniah kepada barisan pengurusan kanan serta warga Felcra atas pelantikan pengerusi baharu tersebut.

Beliau berharap warga Felcra mampu mengorak langkah lebih proaktif dalam menangani norma baharu serta cabaran ekonomi demi kemajuan dan pertumbuhan syarikat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya