HULU TERENGGANU: Pekerja ladang warga Indonesia maut dipercayai disambar petir ketika mengait kelapa sawit di ladang Blok 2 Kampung Dusun Cheting, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Maniadi, 40, ditemukan terbaring oleh dua rakannya sebelum dibawa pulang dengan motosikal ke rumah kongsi di Ladang Tersat, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada pukul 5.45 petang.
Katanya, siasatan mendapati pekerja ladang itu bersama rakannya, Naswan, 32, keluar dari rumah kongsi mereka pada pukul 2.30 petang untuk mengait buah kelapa sawit.
“Rakannya meninggalkan mangsa di tempat kejadian untuk bekerja dan datang semula 20 minit kemudian bersama seorang rakan, Sudirman, 42.
“Sampai di lokasi, kedua-duanya yang juga warga Indonesia, menemukan mangsa terbaring sebelum dibawa pulang ke rumah kongsi di Ladang Tersat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Adli, pemeriksaan mendapati mangsa meninggal di lokasi dan terdapat kesan terbakar di tapak tangan kanan dipercayai disambar petir semasa mengait buah kelapa sawit.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat. – UTUSAN