MELAKA: Meskipun tewas di semua kerusi Parlimen ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pas Melaka tetap mahu mencuba nasib pada pilihan raya akan datang.
Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek berharap, melalui Muafakat Nasional (MN) parti tersebut dapat diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen.
Beliau berkata, cadangan tersebut telah dibawa ke peringkat pusat untuk dibincangkan antara parti-parti dalam MN.
Katanya, pemilihan kerusi berdasarkan kekuatan Pas di kawasan yang ingin ditandingi seperti jumlah keahlian dan cawangan serta program-program yang dilaksanakan selama ini.
“Kerusi Parlimen akan diputuskan di peringkat Pusat, kami di Melaka hanya setakat boleh memberi cadangan dan sekiranya berlaku pilihan raya mengejut Pas akan bertanding paling kurang satu kerusi.
“Yang pasti bukan kerusi Alor Gajah kerana di situ dianggap tidak berpotensi untuk Pas berbanding Parlimen Hang Tuah Jaya, Jasin dan Tangga Batu,” katanya ketika ditemui.
Pada PRU-14, Pas tewas di kesemua lima kerusi Parlimen yang ditandingi mereka termasuk Masjid Tanah, kecuali Parlimen Kota Melaka yang menyaksikan Pas tidak meletakkan calon.
Tambah Kamaruddin, Pas negeri juga sudah mengenal pasti calon ‘heavy weight’ untuk mewakili kerusi Parlimen yang akan ditandingi.
“Sudah pasti calon itu berpengalaman luas dan kalangan profesional kerana bagi kerusi Parlimen pemilihan disaring ketat oleh Pas Pusat dan jika menang ada kemungkinan ditarik ke Kabinet,” katanya.
Dalam pada itu, kata Kamaruddin, Pas negeri tidak memandang enteng persediaan di semua peringkat.
“Belum ada perbincangan mengenai (agihan) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam perjumpaan bersama Muafakat Nasional. Kalau ada pilihan raya di peringkat negeri Pas mesti bertanding kerusi DUN juga,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE