GEORGE TOWN – Tiga warga Myanmar yang bekerja di sebuah ternakan ikan dalam sangkar di selatan Pulau Aman dekat sini diberkas selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Lelaki berusia 23, 25 dan 30 tahun itu ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri kira-kira pukul 1 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, tangkapan dibuat susulan pemeriksaan sebuah sangkar ikan yang tiada nombor pendaftaran di kedudukan 4.2 batu nautika selatan Pulau Aman.
“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri (pasport) dan permit kerja yang sah.
“Mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia negeri untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Hamizan mengingatkan pengusaha-pengusaha ternakan ikan dalam sangkar supaya tidak menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.
“Kita akan memperkuatkan pemantauan dan rondaan bagi membanteras kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Pulau Pinang,”ujarnya.
Tambah beliau, orang awam boleh melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE