Orang Asli derita jalan balak rosak - Utusan Malaysia

Orang Asli derita jalan balak rosak

JALAN balak di perkampungan Orang Asli Gua Musang, Kelantan rosak teruk akibat hujan lebat seminggu lalu. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kehidupan harian 7,000 penduduk Orang Asli di lima  pos pedalaman di sini dalam serba kepayahan berikutan jalan balak yang menjadi laluan utama mereka rosak teruk akibat hujan lebat sejak seminggu lalu.

Belum sempat masalah diatasi, kumpulan tersebut diuji lagi apabila empat hari lalu, jalan balak terbabit termasuk jambatan kayu runtuh menyebabkan mereka terputus hubungan pula dan terkandas di pos masing-masing.

Antara pos Orang Asli yang menghadapi masalah terputus perhubungan akibat kerosakan jalan balak yang serius ketika ini ialah Pos Tohoi, Pos Bihai, Pos Simpor, Pos Belatim dan Pos Gob.

Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, Orang Asli di sekitar pos terbabit kini tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang seperti biasa.

Katanya, jika laluan utama itu tidak dibaiki segera, penduduk bakal berdepan masalah kehabisan bekalan makanan dalam masa terdekat. 

“Kita mengharapkan kerajaan dapat mengambil tindakan segera untuk membaiki jalan rosak supaya penduduk tidak dibebani dengan masalah itu terlalu lama. 

 “Sebelum ini, penduduk telah bergotong-royong membina jambatan kayu sementara tetapi tidak tahan lama dan runtuh semula,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Penduduk Kampung Tendrik di Pos Bihai, Pelinejon Assut, 35, berkata, sekurang-kurang terdapat enam lokasi jalan runtuh dari Pos Bihai ke Pos Belatim

Katanya, dua jambatan kayu menghubungkan dua kawasan itu juga runtuh dilanda arus deras selepas air sungai melimpah. 

“Jambatan kayu itu asalnya dibina syarikat pembalakan untuk laluan lori balak ke kilang di luar kawasan ini.

“Kerosakan jalan itu paling teruk sepanjang tahun ini sehingga menjejaskan kami untuk keluar ke bandar bagi melakukan urusan harian,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, masalah penduduk Orang Asli itu dalam perhatian pihaknya dan telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Katanya, ketika ini syarikat pembalakan telah membaiki kerosakan jambatan di beberapa kawasan, namun usaha tersebut tidak mencukupi. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya