Menyamar nelayan seludup 3.2kg syabu ke negara jiran - Utusan Malaysia

Menyamar nelayan seludup 3.2kg syabu ke negara jiran

AMINUDDIN Abdul Rashid (dua dari kiri) menunjukkan syabu yang cuba diseludup ke negara jiran di Ibu Pejabat APMM Johor, di Menara Tabung Haji Johor Bahru, hari ini. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM SAHKAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menyamar sebagai nelayan, itu taktik digunakan seorang tekong tempatan ketika cuba menyeludup syabu seberat 3.2 kilogram (kg) ke Pulau Nipah, Indonesia, kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri, Aminuddin Abdul Rashid berkata, modus operandi digunakan lelaki berusia 38 tahun itu ialah berlagak menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Sebaik pasukan APMM memeriksa suspek, ditemukan pelbagai peralatan menangkap ikan dan tong ikan berisi syabu seberat 3.2 kilogram (KG) dianggarkan bernilai RM160,000.

“Nilai rampasan keseluruhan merangkumi bot dan sebuah kereta Toyota pula berjumlah RM202,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, APMM pada mulanya mengesan pergerakan bot mencurigakan sewaktu melakukan rondaan Op Benteng Laut di perairan Tanjung Piai, Pontian pada pukul 3.30 pagi, kelmarin.

Katanya, suspek cuba membuang beberapa tong plastik ke laut selepas menyedari botnya dihampiri pasukan peronda APMM kira-kira 3.8 batu nautika dari tenggara selatan Johor.

“Sejurus itu, kami melakukan pemeriksaan dan mendapati lelaki berkenaan membawa syabu disimpan dalam beberapa tong plastik,” ujarnya.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali jika sabit kesalahan.

Jelasnya, APMM bekerjasama dengan polis untuk menjejaki dalang yang terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan itu.

“Siasat awal mendapati, suspek hanya berperanan sebagai penghantar dadah ke negara jiran.

“Dia dipercayai aktif menjalankan aktiviti sejak 2012 dan menerima wang pendahuluan antara RM2,000 dan RM4,000. Sejumlah wang tunai turut didapati telah didepositkan ke dalam akaun bank lelaki itu,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN