REMBAU : Seorang lelaki Orang Asli ditemui lemas selepas terjatuh ketika memancing bersama rakannya di sebatang anak sungai berdekatan Jalan Kota Lubok Cina ke Kampung Melintang di sini petang semalam.
Timbalan Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Zakaria Amat berkata, mayat mangsa berjaya ditemui pada pukul 7.20 malam selepas kerja mencari dan menyelamat dilakukan.
“Pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dengan kekuatan seorang pegawai dan lapan anggota telah bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.07 petang.
“Pusat Gerakan Operasi Negeri juga telah mengerakkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Teluk Kemang bagi membantu operasi bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Zakaria, mangsa bersama empat rakannya dipercayai memancing di anak sungai tersebut sebelum mangsa terjatuh dan lemas.
“Bagaimanapun, empat lagi rakannnya terselamat dalam kejdian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam ketika dihubungi berkata, mangsa, Aidi Jana, 34, dari Kampung Orang Asli Ulu Chuai.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE