KANGAR: Berbekal modal pusingan sebanyak RM1,000 diberikan bapanya pada 1980 bagi menjalankan perniagaan, Marzukhi Othman, 62, kini menjadi antara pengilang beras terbesar di negara ini.
Dari sebuah kilang kecil diusahakan bapanya, Allahyarham Othman Saad, Marzukhi melalui syarikat Dibuk Sdn. Bhd. (Dibuk) berjaya meluaskan empayar perniagaan tersebut yang kini memiliki tiga buah kilang beras di sekitar Perlis dengan penghasilan lebih 25,000 tan setahun.
Untuk sampai ke tahap itu bukan mudah buat bapa kepada lima anak ini kerana ia menuntut usaha keras sepanjang terlibat dalam dunia perniagaan.
Kejayaan itu juga sedikit sebanyak membuka pintu rezeki kepada para petani apabila setiap musim, Dibuk membeli lebih 20,000 tan padi membabitkan kira-kira 10,000 petani khususnya dari negeri ini.
“Saya masih ingat, sejurus habis belajar di UPM (Universiti Putra Malaysia) saya bertekad untuk berniaga selain membantu ayah menguruskan kilang kecil kami iaitu Kilang Beras Othman Saad dan Keluarga di sini. Adik-beradik lain pada masa itu tidak berminat dalam perniagaan ini.
“Mula-mula nak berniaga, ayah beri modal pusingan RM1,000. Berbekalkan sebuah basikal buruk saya masuk kampung-kampung membeli padi daripada pesawah untuk diproses. Pada masa itu, hanya ada mesin yang boleh mengisar antara 0.4 tan sahaja dalam masa sejam selain kawasan kecil untuk proses jemuran.
“Banyak kesukaran di awal perniagaan ini. Bila kekurangan modal, kita ditekan pemborong selain kesukaran mendapatkan pinjaman.
“Malah hendak beli padi daripada pesawah juga sukar dan paling banyak pun sekitar 100 tan sahaja semusim,” kata anak keempat dari lima beradik itu kepada Utusan Malaysia, semalam di kilangnya di Kampung Behor Kulit Kerang.
Katanya, selepas beberapa tahun mengumpul duit, akhirnya dia berjaya membuka sebuah kilang baharu lebih besar pada 1988, selain mendaftar sebuah syarikat dengan nama Dibuk Sdn. Bhd. yang mula beroperasi pada 1990.
Marzukhi yang juga Pengarah Urusan Dibuk berkata, sejak itu perniagaannya terus berkembang pesat dan dia berjaya mengambil alih sebuah kilang padi milik usahawan Cina pada 2011 sebelum membuka sebuah lagi kilang tahun lalu.
Dua lagi kilang miliknya di Kuala Sanglang, Arau dan Kampung Paya Besar, Kedah.
Marzukhi turut berterima kasih dan merakam penghargaan kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang merupakan rakan strategik Dibuk sejak 1997.
“BERNAS sentiasa memberi kepercayaan kepada saya sehingga berada pada tahap menjadi salah sebuah pengilang bumiputera paling besar di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE