Maritim Malaysia tahan kapal utiliti tanpa pelepasan pelabuhan - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan kapal utiliti tanpa pelepasan pelabuhan

SEBUAH kapal utiliti ditahan Maritim Malaysia kerana tidak mempunyai pelepasan pelabuhan di perairan Johor. pix IHSAN APMM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah  kapal utiliti di perairan Johor di sini kerana tidak mempunyai kebenaran pelepasan.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal berkenaan ditahan di perairan Johor Timur pada kedudukan 9.4 batu nautika timur Tanjung Balau kira-kira pukul 2.30 petang.

“Kapal tersebut ditahan setelah dikesan berlabuh di perairan di situ. Setelah disoal siasat, nakhodanya mengaku membawa alat ganti dari Singapura ke sebuah kapal tangki berpangkalan di Greece yang sedang berlabuh. 

“Namun tiada sebarang dokumen pelepasan pelabuhan dikemukakan oleh pengendali kapal berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Mohd Zulfadli, kapal yang berdaftar di Mongolia itu dikendalikan empat lelaki termasuk nakhoda warga Indonesia berumur 31 hingga 41 tahun.

Katanya, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 474(2) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

 “Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya bagi Akta Kastam 1967 manakala bagi kesalahan di bawah OPS 1952 boleh didenda sehingga RM10,000. 

“Pengoperasian bot dan kapal asing yang berpangkalan di Singapura untuk menjalankan apa-apa perkhidmatan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran merupakan satu pencabulan ke atas kedaulatan perairan negara,” katanya.

Beliau mengingatkan semua pemilik dan pengusaha perkapalan supaya menggunakan perkhidmatan tempatan apabila berada di perairan Malaysia.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya dan sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan  demi memastikan perairan negara khususnya perairan Johor Timur bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya