Macau Scam: Pensyarah rugi RM325,000 - Utusan Malaysia

Macau Scam: Pensyarah rugi RM325,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pada mulanya, seorang pensyarah di daerah ini sedar dirinya dihubungi oleh ‘scammer‘ atau penipu alam maya selepas mendapat panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah dan anggota polis dari Perlis. 

Panggilan itu mendakwa mangsa berusia 41 tahun terlibat kes langgar lari dan sindiket perdagangan duit antarabangsa serta penjualan dadah. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menegaskan dia tidak terlibat dakwaan berkenaan, bagaimanapun pensyarah tersebut tiba-tiba panik apabila dimaklumkan kereta peronda polis akan menangkapnya di rumah.

“Dalam pemikiran mangsa yang panggilan tersebut hanya ‘scammer’ menjadi benar. Mangsa fikirkan masa depan anak-anak jika dia ditangkap, jadi mangsa merayu sehabisnya.

“Polis tersebut memaklumkan dia tidak boleh buat apa kerana itu kes besar. Jadi dia salurkan kepada ketua siasatan kes tersebut dari Bukit Aman yang dikenali sebagai Inspektor Suzana dan Inspektor Herman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Wazir berkata, selepas bercakap dengan Inspektor Herman, mangsa dimaklumkan bahawa pihak mahkamah terpaksa membekukan kesemua akaun dan aset termasuk rumahnya.

Sejurus panggilan itu, kata beliau, pensyarah berkenaan mengeluarkan semua duit dalam akaun banknya termasuk Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk dipindahkan ke dalam akaun juru audit bagi tujuan pemantauan setelah diminta oleh Inspektor Herman. 

Jelasnya, mangsa juga diminta menjual rumahnya bernilai RM190,000 kerana disebabkan pembelian aset berkenaan, akaun mangsa digunakan oleh sindiket perdagangan duit antarabangsa. 

Katanya, mangsa selepas itu diminta membantu siasatan polis dengan membuat pinjaman peribadi kononnya pengeluaran dibuat dapat mengesan duit yang digunakan bagi saluran jenayah itu berdasarkan kod pada duit tersebut. 

Menurutnya, tanpa berfikir panjang mangsa membuat pinjaman daripada tiga buah bank berjumlah RM265,000 dan duit itu dikeluarkan serta dimasukkan ke akaun juru audit yang diberikan oleh Inspektor Herman. 

“Selain itu, mangsa juga memindahkan kesemua duit anaknya ke akaun yang diberikan suspek sebanyak RM30,000 kerana takut anaknya terlibat disebabkan semua akaun atas nama mangsa,” katanya.

Beliau berkata, menyedari semua panggilan yang dibuat suspek menggunakan nombor ‘private‘, mangsa merasakan telah ditipu dengan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM325,000. 

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya