KUALA LUMPUR: Perhimpunan lebih 3,000 penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di luar kompleks Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapat kritikan pelbagai pihak akibat tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ia susulan orang ramai mengadakan perhimpunan secara besar-besaran tanpa mengamalkan penjarakan sosial ketika kerajaan berusaha mengekang penularan Covid-19.
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A. Sivarajan pada masa sama mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa yang didakwa gagal mengawal orang ramai daripada berkumpul di sepanjang jalan menuju ke luar mahkamah itu.
“Adakah Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan perhimpunan tersebut di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012? Kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sudah jelas apa yang berlaku hari ini, orang ramai tidak mematuhi peraturan dari segi penjarakan sosial dan merekodkan suhu badan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, sekitar jam 11.50 pagi tadi, polis menggunakan pembesar suara memberi amaran kepada orang ramai yang berkumpul untuk mematuhi SOP-PKPP. Setakat berita ini ditulis, orang ramai tidak lagi berkumpul di sepanjang jalan itu akibat cuaca panas terik.
Orang ramai dikatakan dari seluruh negara hadir sebagai tanda solidariti dan menyokong Najib yang berdepan dakwaan penyelewengan dana SRC international Sdn. Bhd bernilai RM42 juta.
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Najib bersalah ke atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram selepas bekas Perdana Menteri itu gagal menimbulkan keraguan munasabah atas pertuduhan yang dihadapinya. -UTUSAN ONLINE