Lelaki ingkar perintah kuarantin dikompaun RM1,000 - Utusan Malaysia

Lelaki ingkar perintah kuarantin dikompaun RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki di bawah pengawasan (PUS) dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar perintah kuarantin pada 23 Julai lalu.

Lelaki berusia 66 tahun yang pulang dari Singapura itu sepatutnya menjalani perintah kuarantin selama 14 hari bermula 12 Julai sehingga Sabtu lalu di kediamannya di Mont Kiara, namun ingkar arahan dengan duduk di lobi kondominium berkenaan

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Zairulnizam Mohd. Zainuddin berkata, hasil makluman awam, sepasukan anggota dan pegawai Sri Hartamas telah pergi ke kondominum tersebut, mendapati dia berada di lobi berkenaan.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati, lelaki tersebut turun ke lobi kondominium untuk mengambil surat di peti surat rumahnya.

“Walau bagaimanapun, tindakan lelaki tersebut menyebabkan dia dikompaun bagi kesalahan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 343) dengan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta yang sama, selain disiasat di bawah Peraturan 11 Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.7).

“Sepanjang pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP), ini adalah kes keempat yang telah dikenakan kompaun kepada mereka yang ingkar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam,  tular video berdurasi 10 saat dalam laman sosial memaparkan seorang lelaki memakai gelang pengesanan kuarantin koronavirus (Covid-19)  duduk di sebuah lobi kondominium.

Bagaimanapun, Zairulnizam menafikan kejadian itu berlaku semalam sebaliknya video dipercayai dirakam individu yang tidak kenal pasti ketika pihak polis melakukan pemeriksaan pada Khamis lalu

Sehubungan itu, Zairulnizam menyeru orang ramai mempunyai maklumat berhubung ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP di kawasan masing-masing boleh menghubungi pihak polis Brickfield di talian hotline 03-2297 9222. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN