KPDNHEP Besut rampas 125 jam tangan Casio G-Shock tiruan - Utusan Malaysia

KPDNHEP Besut rampas 125 jam tangan Casio G-Shock tiruan

PEGAWAI penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Besut merampas 125 unit jam tangan tiruan jenama Casio G-Shock bernilai RM2,500 dalam Op Jeriji di sebuah premis perniagaan di Setiu, Terengganu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Besut merampas 125 jam tangan tiruan jenama Casio G-Shock bernilai RM2,500 di sebuah premis perniagaan di sini, semalam.

Ketua Cawangannya, Azani Ismail berkata, dalam serbuan Op Jeriji kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pihaknya turut menahan lelaki tempatan berusia 29 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, serbuan yang dijalankan turut disertai wakil pemilik cap dagang berdaftar. 

“Operasi ini susulan laporan pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki jam tangan berkenaan adalah tiruan. 

“Ia sekali gus berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika dan ingin mendapatkan keuntungan dengan cara mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Azani berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii)  akta sama. 

Katanya, sabit kesalahan pesalah boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Azani menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati di samping bijak memilih barangan berjenama di pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan cara mudah. 

“KPDNHEP Terengganu turut mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya