KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ketika menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 72 tahun dan denda RM210 juta kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak dapat diterima akal bekas Perdana Menteri itu langsung tidak mengambil tindakan atau inisiatif bagi mengetahui punca sebenar dana yang diterima.
Berikut sebahagian hujah Mohd. Nazlan kenapa Najib disabitkan kesalahan atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd:
Kenyataan media bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak boleh diterima kerana ketika disoal balas, beliau mengakui tidak tahu mengenai siasatan lanjut yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pihak pembelaan gagal menunjukkan Najib cuba menyelesaikan ‘masalah’ yang timbul ekoran derma RM42 juta itu.
Pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia berdasarkan imbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.
Pertuduhan pecah amanah
Terdapat bukti Najib mengetahui mengenai akaun peribadinya yang didakwa dikawal oleh Jho Low, Nik Faisal dan Joanna Yu ekoran terdapat komunikasi antara tertuduh dan ketiga-tiga individu itu berhubung baki akaun
Pada mulanya mendakwa tandatangan dipalsukan tetapi pihak pembelaan tidak pernah memanggil pakar untuk menyokong keterangan walaupun dibenarkan untuk berbuat demikian.
Tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Raja Abdullah akan memberikan sokongan dalam bentuk wang ringgit melalui derma yang didakwa diterima dari Arab Saudi.
Walaupun timbul kontroversi mengenai derma RM42 juta, Najib tidak pernah mengambil sebarang tindakan untuk mengesahkan mengenai derma tersebut sebaliknya menerima bulat-bulat apa diperkatakan oleh Jho Low.
Tiada sebarang bukti pembelaan yang menunjukkan bahawa Najib mengesahkan (acknowledge) penerimaan derma atau pun sebarang surat mengucapkan `terima kasih’ kepada Raja Abdullah terhadap derma yang diterima.
“All roads lead to Rome. In this case, it leads to Riyadh.” (Semua jalan menuju ke Rome. Dalam kes ini, ia menuju ke Riyad).”
Anggapan bahawa RM42 juta adalah derma kerabat diraja Arab tidak logik dan tidak boleh diterima akal. Secara keseluruhannya, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan tertuduh telah menggunakan dana tersebut untuk kegunaan peribadi.”
Pengubahan Wang Haram
Pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah.”
Rumusan
“Berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan, saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah bagi tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah. Oleh itu saya mensabitkan tertuduh bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan.”
Mohd. Nazlan telah menolak hujah pembelaan berhubung pinjaman RM4 billion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kepada SRC, derma dari negara Arab, dan peranan Jho Low.
Ketika menjatuhkan hukuman pada pukul 6.31 petang, Mohd. Nazlan juga menetapkan hukuman penjara tambahan lima tahun jika bekas perdana menteri itu gagal membayar denda RM210 juta.
Mohd. Nazlan membenarkan hukuman penjara dan denda ditangguhkan sehingga rayuan difailkan tertuduh manakala jumlah jaminan dinaikkan RM1 juta selain tertuduh harus melaporkan diri di balai polis terdekat dua kali sebulan.
Perbicaraan semalam bermula pukul 10 pagi dengan Mohd. Nazlan membacakan penghakimannya selama dua jam sebelum menjatuhkan hukuman, rayuan pembelaan dan penangguhan pelaksanaan sebelum mahkamah bersurai kira-kira pukul 7.40 malam.
Najib yang menyambut hari jadi ke 67 tahun minggu lalu, masih berhadapan empat perbicaraan dan 35 pertuduhan membabitkan syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB). SRC sebelum ini adalah anak syarikat 1MDB.
Anak sulung kepada perdana menteri kedua yang berpakaian suit dan bertali leher itu kelihatan muram dan letih selepas melalui proses penghakiman yang berlangsung lebih sembilan jam semalam.
Ketika melakukan pembelaan dari kandang pesalah, Najib bersumpah dia tidak meminta, merancang atau ditawarkan wang RM42 juta itu.
Mohd. Nazlan ketika mengaitkan Jho Low, Datuk Azlin Alias dan bekas pengarah urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil berkata: “Nik Faisal dan Jho Low duduh selesa dengan tertuduh. Ini tidak dapat dipertikaikan.”