Kedaulatan negara dipertahan pelbagai kaum - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Kedaulatan negara dipertahan pelbagai kaum – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kedaulatan negara telah dipertahankan oleh pasukan tentera dan polis yang anggotanya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ramai di antara mereka yang terkorban ketika menjalankan tugas antaranya Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974 dan  Ketua Polis Perak, Khoo Chong Kong pada 13 November 1975 yang berketurunan Cina dan beragama Kristian.

Baginda bertitah, anak muda yang baru berusia 24 tahun, Kapten Mohana Chandran gugur dalam pertempuran pada 13 Jun 1971, berketurunan India dan beragama Hindu.

“Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) merupakan darjah tertinggi antara lima darjah Gagah Perkasa dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang telah menunjukkan keberanian luar biasa atau melakukan sesuatu tindakan dengan gagah berani serta penuh pengorbanan.

“Panglima Gagah Berani (P.G.B.) merupakan darjah kedua tertinggi antara lima darjah Gagah Perkasa.

“Nama-nama penerima anugerah dua darjah utama Gagah Perkasa membuktikan perkhidmatan pertahanan dan keselamatan negara kita telah dipikul secara bersama oleh warga Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dari pelbagai negeri dan wilayah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada sambutan Aidiladha dan memperingati Hari Pahlawan di Dataran Kem Syed Putra, di sini hari ini. 

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, Sultan Nazrin bertitah, umat Islam hendaklah menganggap ketidakcapaian hasrat untuk melakukan ibadah haji pada tahun ini akibat wabak Covid-19 sebagai ujian yang memerlukan pengorbanan. 

“Hanya Allah mengetahui rahsia yang terselindung dan hikmah yang tersembunyi di sebalik penangguhan ibadah pada tahun ini.

“Semoga Allah menggantikan pengorbanan itu dengan ganjaran yang lebih baik,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara di Ulu Kinta di sini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 8.27 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Solat diimamkan Sarjan Razali Musa.

Jemaah menunaikan solat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menangani wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya