SHAH ALAM: Selangor mencatat peningkatan lebih 11 peratus kebakaran hutan dengan 247 kes dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding 222 bagi tempoh sama tahun lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, kes paling besar melibatkan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan tahun ini apabila terbakar sebanyak dua kali.
Katannya, kebakaran hutan biasanya berlaku di tanah gambut dalam kawasan pertanian.
“Kebakaran pertama berlaku pada 27 Februari sehingga 11 Mac lalu manakala seterusnya pada 18 April sehingga 24 April.
“Kebakaran berlaku di tempat sama, tetapi lokasi berbeza dengan keluasan kebakaran pertama lebih besar daripada kes kedua iaitu 72 hektar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Hafisham berkata, walaupun mencatat peningkatan kebakaran hutan, jumlah keseluruhan kes kebakaran tahun ini menurun berbanding tahun lalu.
“Tahun lalu, sebanyak 4,329 kes direkodkan dari Januari hingga Jun, namun tahun ini hanya 3,889 kes dicatat untuk tempoh yang sama.
“Sehingga Jun, kebakaran bangunan mencatatkan 482 kes, berbanding 561 kes tahun lalu.
“Kita menggalakkan orang ramai membeli alat pemadam api sebagai langkah pencegahan kebakaran kerana dengan alat pemadam ini, kebakaran dapat dipadam lebih awal,” ujarnya. – UTUSAN