SHAH ALAM: Penahanan seorang lelaki berhubung kesalahan dadah membongkar kepada penjualan senjata api ‘airsoft’ yang dijual menerusi aplikasi WhatsApp Februari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Fadzil Ahmat berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menahan lelaki terbabit di kawasan Klang, dekat sini.
Katanya, siasatan terhadap lelaki itu membawa kepada penahanan pasangan suami isteri bersama enam pucuk pistol dan dua senapang ‘airsoft’ beserta peluru hidup.
“Kita mendapati terdapat satu kumpulan mesej khas aplikasi WhatsApp untuk menjual senjata api ‘airsoft’.
“Polis menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengesan pembeli dan individu berkaitan kegiatan tersebut. Kita berjaya menahan 43 individu termasuk empat wanita di seluruh negara berusia lingkungan 18 tahun hingga 57 tahun.
“Seramai 18 individu ditahan di Selangor; Perak (lima orang); Kuala Lumpur dan Kedah (masing-masing empat orang); Johor dan Pahang (masing-masing tiga orang); Negeri Sembilan (dua orang) dan satu masing-masing di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu serta Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Fadzil berkata, hasil penahanan kesemua suspek juga berjaya merampas sepucuk pistol, peluru hidup (1,355 butir), pistol ‘airsoft’ (57); senapang ‘airsoft’ (31), bom C4 (10), bom tangan (tiga) dan dua senjata diubah suai.
“Siasatan mendapati senjata dijual untuk pasaran tempatan pada harga RM5,000 untuk pistol manakala RM10,000 bagi senapang. Bom yang ditemukan juga adalah milik salah seorang pembeli yang ditahan di Johor.
“Kita percaya bekalan senjata ‘airsoft’ dan alat ganti ini diperoleh melalui orang tengah dari negara jiran manakala peluru hidup pula dari dalam negara.
“Seramai 16 individu didakwa manakala dua lagi dalam penyediaan kertas siasatan. Kesemua yang ditahan di Selangor dituduh mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 36; Seksyen 38 dan Seksyen 39 semuanya dibawah Akta Senjata 1960,” ujarnya.
Difahamkan, penjualan senjata api ‘airsoft’ itu didalangi seorang anggota tentera yang bertugas di Kem Sungai Besi.
Pasangan suami isteri itu juga dipercayai menerima upah RM1,000 bagi satu senjata api yang diubah suai. – UTUSAN ONLINE