Jenayah komersial tidak termasuk dalam indeks jenayah - Utusan Malaysia

Jenayah komersial tidak termasuk dalam indeks jenayah

ISMAIL MOHAMED SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian seperti ‘love scam’ tidak dimasukkan dalam pengiraan indeks jenayah yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan dalam perancangan mempertingkatkan perkakasan sedia ada untuk mengesan jenayah berkenaan seterusnya dapat dibanteras.

“Memang beberapa jenayah komersial seperti jenayah ‘scam’ yang disebut oleh Yang Berhormat Pandan, dua kategori ini tidak masuk di dalam indeks jenayah. Dan pihak PDRM sedang mengkaji untuk memasukkannya supaya jenayah komersial ini menjadi tumpuan khusus bagi kita menangani jenayah dalam talian. 

“Sebab itu, kita akan mempertingkatkan perkakasan bagi mengesan dan jenayah ini dapat kita banteras,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) berkenaan indeks jenayah di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail berkata, sebelum PKP iaitu dari 1 Januari hingga 17 Mac 2020, sebanyak 2,225 kes jenayah direkodkan di ibu kota.

Namun, angka itu menurun kepada 546 kes ketika tempoh PKP dari 18 Mac hingga 3 Mei 2020.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu 4 Mei hingga 9 Jun 2020 sejumlah 708 kes (direkodkan).

“Dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 10 Jun hingga 30 Jun 2020 sebanyak 488 kes. PKPP masih berterusan, kita masih belum ada indeks jenayah selepas PKP,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN