KANGAR: Pekebun kecil getah yang terhimpit berikutan kejatuhan harga komoditi tersebut disaran mengusahakan tanaman baharu sebagai sumber pendapatan tambahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, langkah tersebut sebagai alternatif sampingan peneroka ketika berhadapan situasi harga getah yang tidak menentu.
Katanya, mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada hasil getah semata-mata, sebaliknya perlu mencari inisiatif lain menjana pendapatan.
“Kerajaan sendiri banyak memberi bantuan contohnya benih-benih sayuran selain induk ternakan bagi membantu mereka yang terjejas mengusahakannya (tanaman) sekali gus kembali membawa pulangan.
“Tanaman dan ternakan ini tidak boleh membawa pulangan segera, sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan dan mengembangkannya ke peringkat lebih besar.
“Ia sebagai kerja sampingan yang mendatangkan pendapatan terutama ketika harga getah mengalami kejatuhan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri ini di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan keluhan para peneroka getah dari Felda Chuping di sini selepas harga komoditi itu menjunam sehingga paras di bawah RM2 sekilogram.
Malah, para peneroka terbabit turut meluahkan hasil pendapatan menoreh getah ketika ini, hanya lepas beli ikan dan beras sahaja.
Harga bagi sekilogram getah sekerap ketika ini hanya sekitar RM1.80 iaitu paling rendah pernah direkodkan sejak 20 tahun lalu.
Tambah Azlan, isu penurunan dan kenaikan harga getah berdasarkan permintaan dan penawaran semasa komoditi itu. – UTUSAN ONLINE