SETIU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Besut merampas sebanyak 125 unit jam tangan tiruan jenama Casio G-Shock bernilai RM2,500 di sebuah premis perniagaan di sini, semalam.
Ketua Cawangannya, Azani Ismail berkata, dalam serbuan Op Jeriji kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, serbuan yang dijalankan turut disertai oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar.
“Operasi ini susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki jam tangan berkenaan adalah tiruan.
“Ia sekali gus berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika dan ingin mendapatkan keuntungan dengan cara mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azani berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) bawah akta sama.
Katanya, jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, Azani menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati di samping bijak memilih barangan berjenama di pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan dengan mudah.
“KPDNHEP Terengganu turut mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE