Jalan ke sekolah tidak sepatutnya begitu - Utusan Malaysia

Jalan ke sekolah tidak sepatutnya begitu

GURU dan murid SK Tohoi di Gua Musang terpaksa menggunakan jambatan kayu balak untuk ke sekolah setiap hari. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sampai bila guru di kawasan pedalaman perlu menghadapi kesusahan hanya untuk sampai ke sekolah setiap hari?

Sejak dahulu kita disajikan berita guru yang mengharungi jalan berliku, naik perahu dan terpaksa menolak motor melalui titi balak untuk ke sekolah.

Dari satu sudut, ia boleh menjadi bukti kegigihan barisan guru terutamanya di kawasan pedalaman. Namun dari satu sudut lain, ia menunjukkan kegagalan kerajaan dalam menyediakan
kemudahan laluan ke sekolah yang selamat untuk guru dan murid-murid.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, isu tersebut perlu mendapat perhatian khusus kerajaan kerana rakyat hanya boleh bergantung kepada pihak berkuasa untuk membaikinya.

“Semua murid dan guru Malaysia berhak mendapat prasarana saksama.

“Pihak kami menyeru kerajaan memberi perhatian serius kepada isu perhubungan jalan yang ditimbulkan guru-guru pedalaman. Mereka dan juga masyarakat terpaksa mengharungi liku-liku jalan yang tidak selamat setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Ia turut dipersetujui Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Husin yang berpendapat perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

Tegas beliau, masalah sudah berlarutan dan kerajaan perlu segera menanganinya.

“Laluan itu perlu diberi perhatian supaya kisah begini tidak lagi kita dengar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kerajaan memerlukan lebih RM50 juta bagi membina semula 11 jambatan kayu yang
runtuh akibat hujan lebat di kawasan penempatan Orang Asli daerah ini.

Katanya, kejadian tahun ini adalah yang paling teruk apabila jambatan runtuh secara serentak menyebabkan 7,000 Orang Asli di lima buah pos terputus hubungan untuk ke bandar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya