KUALA LUMPUR: Hanya dengan bersetuju melakukan ‘gencatan senjata politik’ dapat menghentikan ‘huru-hara’ perebutan kuasa yang kelihatan seolah-olah tiada kesudahan.
Bagi merealisasikannya, kedua-dua pihak sama ada ahli politik kerajaan atau pembangkang perlu bersedia bekerjasama ke arah mencari titik persamaan membabitkan kepentingan rakyat.
Matlamat peribadi bukan sahaja mengundang kebencian rakyat yang kini berdepan dengan kebimbangan dan kemurungan, malah kesan lebih besar memusnahkan masa depan negara.
Menurut Profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan, kerjasama yang matang perlu dikerah daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang dengan cara mengurangkan politiking.
Ini bermakna, pembangkang perlu bersedia menyokong kerajaan dalam hal yang sepatutnya disokong manakala kerajaan pula terbuka menerima teguran membina.
Langkah yang diistilahkan sebagai ‘gencatan senjata politik’ ini jika dipersetujui katanya, bermakna seluruh idea dan tenaga politik difokuskan kepada usaha membangunkan semula negara demi mengembalikan kesejahteraan rakyat.
“Mana-mana pihak yang terlibat dalam politik haruslah boleh mengetepikan kepentingan fahaman politik dan bekerjasama untuk mempertahankan kesejahteraan negara. Itulah yang akan menampakkan kematangan berpolitik dalam negara.
“Pembangkang yang dihormati adalah yang konstruktif memainkan peranan semak dan imbang ke atas kerajaan. Begitu juga kerajaan wajar mengambil kaedah dan pandangan pembangkang yang boleh memanfaatkan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau mengambil contoh situasi di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) apabila kedua-dua blok politik di negara tersebut meninggalkan perbezaan politik sebaik sahaja tamat pilihan raya demi memastikan negara dapat menghadapi pandemik Covid-19 secara berkesan.
Pun begitu amat penting untuk sesebuah negara mempunyai pemimpin yang bijak dan berwawasan bagi memastikan pengorbanan rakyat mematuhi arahan tidak menjadi sia-sia.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ku Hasnita Ku Samsu pula berkata, kombinasi pemimpin bijaksana dan cekap dalam mendatarkan keluk wabak Covid-19 ke paras rendah dan pengorbanan rakyat pelbagai kaum, memastikan negara dapat memutuskan rantaian Covid-19 serta memberi isyarat kita boleh lebih berjaya.
Tegasnya, sekiranya dua entiti yang menjadi pemangkin sesebuah negara iaitu parti politik dan rakyat tidak mendapat gambaran atau hala tuju jelas ekonomi, isu-isu kepentingan peribadi dalam mencorakkan wajah Malaysia selama ini akan berterusan.
“Ada dalam kalangan mereka (ahli politik) sibuk dengan agenda politik peribadi masing-masing. Sepatutnya, dalam situasi negara dilanda musibah sebegini, semua ahli politik tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu padu membantu rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN