JASIN: Pelbagai infrastruktur yang menjadi mercu tanda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai akan dibangunkan semula selepas ditutup sewaktu peralihan kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, antara yang paling menyedihkan apabila Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bernilai RM2.6 juta, menempatkan hampir 30 agensi kerajaan ditutup dan dijadikan Pusat Komuniti Desa (PKD).
Beliau berkata, RTC di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) arah ke Melaka itu dibangunkan untuk memudahkan penduduk membuat sebarang urusan dan perkhidmatan dengan agensi kerajaan tanpa perlu pergi ke Pekan Jasin.
“Tetapi apabila kerajaan bertukar dahulu, RTC diarah tutup, kesemua 30 agensi kerajaan diarah mengosongkan premis tersebut dan ini memberi kesan kepada penduduk yang sebelum ini mudah membuat urusan di situ.
“Hasil perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali, kesemua agensi kerajaan akan ditempatkan semula di lokasi lama secara berperingkat, tetapi tidak menggunakan nama RTC,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Selain itu, kata Hasan, Pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai yang diarahkan tutup pada 18 Ogos 2018 juga akan dibuka semula tidak lama lagi.
Kata beliau, kerja-kerja mengubah suai pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai di R&R Sungai Rambai arah ke Muar giat dijalankan dan dijangka siap tidak lama lagi.
“Apabila siap nanti, pejabat ini mula beroperasi di bawah Penolong Pegawai Daerah yang akan ditempatkan di sini dengan beberapa kakitangan sokongan,” ujarnya.
Jelasnya, dengan wujudnya pejabat tersebut, urusan-urusan penduduk seperti berkaitan tanah dapat diselesaikan di situ.
Di samping itu, kata Hasan, Mahkamah Syariah yang beroperasi pada 14 Mei 2016 bersebelahan dengan Masjid Al-Hasanah dan Sungai Rambai Aerodrome akan diaktifkan semula. – UTUSAN ONLINE