Hina Permaisuri Selangor, peniaga menangis didenda RM10,000 - Utusan Malaysia

Hina Permaisuri Selangor, peniaga menangis didenda RM10,000

SITI Nurul Ain Mat Nayan didenda RM10,000 atau dua bulan penjara selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peniaga dalam talian yang memuat naik komen jelik terhadap Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mengejutkan hadirin apabila menangis teresak-esak sambil
memohon maaf atas kesalahannya di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Reaksi Siti Nurul Ain Mat Nayan, 32, itu menyebabkan Hakim Rihaida Rafie menangguhkan prosiding kira-kira 15 minit.

“Saya mengakui kesilapan yang dilakukan dan memohon maaf kerana tiada niat untuk memuat naik komen tersebut. Saya tidak akan mengulangi kesalahan ini selain akan lebih berhati-hati
sekiranya melakukan sebarang hantaran dalam media sosial.

“Akibat perbuatan ini, saya dan keluarga dihina. Malah, anak perempuan saya berusia tiga tahun juga trauma dan menangis setiap hari, malah gaji suami sebagai penghantar perkhidmatan aplikasi makanan terjejas,” katanya.

Mahkamah mengenakan denda RM10,000 atau dua bulan penjara ke atas tertuduh setelah dia membuat pengakuan bersalah.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Siti Nurul Ain, berasal dari Pahang, didakwa menggunakan aplikasi internet melalui telefon bimbit Samsung A30 yang secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik dengan niat menyakiti hati orang lain.

Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) di Istana Mestika, Seksyen 7, pukul 10.26 pagi, 26 Jun lalu.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu
diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurbaizura Mohd. Saubian memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik komen menyakiti orang lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya