Hanya 15 ekor lembu korban dijual - Utusan Malaysia

Hanya 15 ekor lembu korban dijual

ZAINUL Zaman Mahalim merenung nasibnya ekoran kandang lembunya di Kampung Lebu, Bentong, Pahang yang lazimnya dipenuhi lembu korban kini berkurangan ekoran penularan pandemik Covid-19. - UTUSAN/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Setiap kali ketibaan Hari Raya Aidiladha, penternak lembu pasti tersenyum lebar apabila ternakan mereka laris dijual sekali gus mendatangkan hasil jualan yang lumayan.

Namun sambutan Aidiladha kali ini dalam situasi negara masih dilanda pandemik Covid-19 memberikan suasana berbeza kepada penternak apabila permintaan lembu korban turun mendadak.

Jika sebelum ini Zainul Zaman Mahalim, 57, dari Kampung Lebu di sini menjual sehingga 70 ekor lembu korban tetapi untuk sambutan kali ini hanya 15 ekor dapat dijualnya.

Dia yang mempunyai kira-kira 300 ekor lembu pelbagai baka berkata, pandemik Covid-19 yang memaksa pelbagai prosedur ditetapkan dalam ibadah korban menyebabkan ramai individu menangguhkannya.

“Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang terpaksa dilaksanakan bagi mengekang pandemik Covid-19 menyebabkan ramai menangguhkan ibadah korban.

“Malah terdapat pembeli yang sudah membuat tempahan membatalkannya pada saat-saat akhir kerana bimbang tidak dapat mengikut SOP ditetapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kandang lembunya di kampung itu hari ini.

Zainul Zaman yang menternak lembu sejak 25 tahun lalu berkata, walaupun jualan berkurangan, perbelanjaan bagi memberi makan dan menguruskan lembu semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya berharap dan berdoa agar pandemik Covid-19 cepat berakhir dan ibadah korban dapat dilaksanakan seperti biasa tahun depan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Chemomoi di sini, Azrul Rizuan, 34, berkata, dia dan keluarga yang merancang mengadakan ibadah korban membatalkan hasrat itu kerana tidak mendapat kebenaran melakukannya di rumah.

“Saya juga bimbang jika ibadah korban diadakan di rumah menyebabkan penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada keluarga dan penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya