Geng Ady Longar tumpas - Utusan Malaysia

Geng Ady Longar tumpas

WAN Kamarul Azran Wan Yusof menunjukkan teksi dan lori yang digunakan Geng Ady Longar melakukan samun bersenjata sekitar Kuala Lumpur dan Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang. - UTUSAN/AQILAH MIOR KAMARULBAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata, Geng Ady Longar setelah memberkas ketuanya, seorang lelaki Indonesia berumur 39 tahun pada 6 Julai lalu.

Kumpulan itu menjadikan tapak pembinaan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sebagai sasaran kegiatan jenayah mereka sejak pertengahan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketua kumpulan itu berperanan sebagai `striker’ dan mencari pembeli peralatan pembinaan yang disamun.

Beliau berkata, dengan penangkapan lelaki itu dan sembilan anggotanya termasuk dua pemandu teksi pada 4 dan 7 Julai lalu, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes di Selangor dan empat kes sekitar Kuala Lumpur.

“Mereka menyasarkan tapak pembinaan dengan menyamun peralatan berharga seperti kabel elektrik dan drill sebelum dijual kepada pembeli.

“Kerugian dianggarkan berjumlah RM90,000 di daerah Sepang sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan empat lagi suspek mengikut Seksyen 395/397 melibatkan samun berkumpulan bersenjatakan parang.

Wan Kamarul berkata, dalam kes 4 Julai lalu, seorang pemandu teksi diberkas selepas terlibat kes samun di sebuah tapak pembinaan di Dengkil, Selangor.

Dalam kejadian itu, dua pengawal keselamatan warga Indonesia dan Bangladesh diikat dengan wayar sebelum dibawa ke stor peralatan elektrik.

Katanya, hasil penangkapan suspek, polis berjaya mengesan rangkaian kumpulan itu. 

“Secara keseluruhan, kami  merampas dua teksi dan sebuah lori yang digunakan mengangkut barangan samun dalam tempoh empat hari siasatan. Kami dapati nombor plat teksi dan lori tersebut tidak diubah dan memudahkan kami menjejaki suspek,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya