JOHOR BAHRU: Sebelum diserang Covid-19 yang melumpuhkan ekonomi dunia, dilaporkan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia bekerja mencari nafkah di Singapura dengan 250,000 daripada mereka berulang-alik setiap hari melalui tambak Johor.
Tiada siapa menduga, mereka akhirnya terpaksa membuat pilihan drastik sama ada diberhentikan kerja, cuti tanpa gaji atau memilih untuk tinggal sementara di negara berkenaan.
Walaupun kerajaan Malaysia dan Singapura sudah bersetuju membuka sempadan antara Johor dengan republik itu pada 10 Ogos ini, namun mereka masih tertanya-tanya sama ada boleh kembali bekerja seperti biasa atau berdepan halangan-halangan lain.
Salah seorang ‘mangsa keadaan’ ialah penolong pengurus logistik, Arafat Mahyiddin, 36, apabila dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan sejak Mac lalu kerana tidak boleh berulang-alik antara Malaysia dan Singapura ekoran pintu sempadan ditutup.
Katanya, walaupun boleh memilih untuk tinggal di Singapura buat sementara waktu, dia bagaimanapun sanggup kehilangan gaji bulanan sebanyak 2,000 dolar Singapura (SGD) atau RM6,000 semata-mata bagi menjaga isterinya yang ketika itu sedang hamil sembilan bulan.
“Kalau ikutkan hati, saya boleh tinggalkan isteri dan dua anak-anak dengan menyewa bilik di Singapura untuk sementara, tetapi demi keluarga tersayang biarlah saya berkorban.
“Jika memilih untuk terus tinggal di Singapura, saya tidak boleh balik langsung ke rumah di Gelang Patah. Bayangkan pintu sempadan ketika ini masih ditutup, maka sehingga ke saat ini saya tidak boleh pulang langsung ke rumah untuk melihat isteri dan anak-anak tersayang,” katanya ditemui Utusan Malaysia semalam.
Tambahnya lagi, meskipun kehilangan pendapatan bulanan empat angka, namun Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM1,600 sedikit sebanyak membantunya untuk menampung keperluan seharian termasuk membayar sewa rumah bulanan sebanyak RM750.
“Selain itu, saya buat kerja sambilan di sebuah kilang kertas di Pasir Gudang dengan pendapatan RM75 sehari. Walaupun tidak banyak, tetapi cukuplah untuk kami sekeluarga meneruskan kehidupan,” katanya.
Pada masa sama, Arafat menambah, dia tidak sabar untuk kembali semula ke tempat kerja dengan semangat baharu setelah mendengar maklumat kerajaan Malaysia dan Singapura sedang berbincang untuk membuka pintu sempadan.
“Saya mahu bangkit semula setelah menghadapi pelbagai dugaan sepanjang pandemik Covid-19 dan bertekad untuk bekerja keras kerana segala yang terjadi selama ini menginsafkan saya.
“Apa yang berlaku, biarlah ia berlalu. Tetapi selepas Covid-19 berakhir di samping dibenarkan masuk semula ke sempadan, saya mahu mulakan episod hidup baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Johor, Tan Eng Hong menggesa kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap nasib rakyat terlibat memandangkan 400,000 orang bukan satu jumlah yang sedikit.
“Kerajaan kedua-dua negara perlu serius mencari jalan keluar terhadap masalah ini. Sehingga kini tiada jaminan adakah mereka akan diambil semula bekerja atau sebaliknya,” kata beliau.
Selain itu, Eng Hong merayu rakyat Malaysia yang terlibat untuk tampil mengemukakan aduan dengan segera agar pihaknya dapat mengambil tindakan sewajarnya khususnya untuk membantu pekerja yang diberhentikan kerja.
Beliau menambah, kini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada para pekerja terlibat, namun bersedia membantu menyelesaikan masalah mereka.
“Memang tidak dinafikan undang-undang buruh Singapura berbeza dengan negara ini, tetapi kita cuba sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Dilema pencari nafkah di Singapura
- Oleh Juani Munir Bin Abu Bakar
- 23 Julai 2020, 9:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Lelaki cuba lari pemeriksaan polis miliki dadah
25 Disember 2024, 9:36 am
Dua maut, kebakaran kem pelarian Rohingya di Bangladesh
25 Disember 2024, 9:27 am
Rakan KKM: Pastikan tenaga pakar mencukupi, layanan sama rata
25 Disember 2024, 9:12 am