KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing yang ditahan kerana disyaki mendera anak perempuan berusia 16 tahun akan disambung reman hingga Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, reman terhadap suspek dilanjutkan bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
“Siasatan masih berjalan dan reman lanjut dibenarkan pihak mahkamah,” katanya di sini hari ini.
Jumaat lalu, suspek berusia 39 tahun itu ditahan selepas disyaki mendera anak perempuannya dengan merotan kaki serta mencucuh tapak kakinya dengan colok.
Penahanan itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Polis Kajang.
Mangsa mengalami kecederaan pada kaki kiri dan kanan serta tapak kakinya sebelum dibawa ke sebuah klinik berhampiran untuk menerima rawatan. – UTUSAN ONLINE