ALOR GAJAH: Keperluan bekalan makanan asas dijamin mencukupi jika negara dilanda gelombang kedua pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita harap tidak berlaku gelombang seterusnya, namun sekiranya terjadi kementerian bersedia menghadapinya.
“Kita belajar daripada pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang menyebabkan berlaku belian panik.
“Insya-Allah keperluan bekalan makanan mencukupi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Protokol Tamat Latihan dan Amanat Pegawai Kadet KP41 di Tanjung Bidara, di sini hari ini.
Rosol berkata, selain persediaan menghadapi gelombang kedua pandemik Covid-19, bekalan makanan menjelang Hari Raya Aidiladha Jumaat ini juga mencukupi.
“Malah, barangan keperluan juga menepati kawalan harga seperti disarankan. Contohnya, harga ayam turun daripada RM9 kepada RM5.90 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata, kementerian turut memberi jaminan bekalan pelitup muka mencukupi susulan pengumuman kerajaan mewajibkan pemakaiannya bermula 1 Ogos ini.
“Kita ada kolaborasi bersama sembilan syarikat besar yang kita minta mereka hentikan sementara eksport (pelitup muka) ke luar negara bagi menampung kegunaan tempatan,” katanya.
Terdahulu, seramai 37 pegawai menamatkan kursus selama 28 hari dan 20 daripadanya merupakan pegawai Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan 17 pegawai lantikan baharu. – UTUSAN ONLINE