Covid 19: Tiada kluster sekolah di Sabah, Kedah - Utusan Malaysia

Covid 19: Tiada kluster sekolah di Sabah, Kedah

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada kluster di sekolah direkodkan setakat ini walaupun terdapat pelajar sekolah rendah di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hanya dua kes melibatkan pelajar di negeri tersebut dan seorang telah diarahkan ke hospital selepas didapati mempunyai komplikasi kebakaran.

“Satu lagi kes melibatkan pelajar mengalami gejala demam, namun, dia tidak hadir ke sekolah,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi mengesahkan satu kes positif Covid-19 dikesan membabitkan seorang murid sekolah rendah di negeri itu.

Tambah Noor Hisham, saringan terhadap kontak rapat dan semua rakan sekelas telah dilakukan dan keputusan adalah negatif.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan tiada  sesi persekolahan ditutup ekoran tiada kluster baharu membabitkan pelajar di tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah Kubang Pasu.

Bagaimanapun, beliau menggalakkan kontak rapat kepada kes Kluster Sivagangga membuat saringan.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini sebanyak 143 orang disaring, enam kes dikesan positif, 67 kes negatif dan 70 kes masih menunggu keputusan dan diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah,” katanya.

Sementara itu, terdapat lapan kes baharu yang dilaporkan menjadikan kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 8,964 kes.

Dari jumlah tersebut jelasnya, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Tiga kes import tersebut dari Kazakhstan, Indonesia dan Filipina sementara lima kes penularan di dalam negara dalam kalangan warganegara masing-masing satu kes di Kuala Lumpur dan Johor, serta tiga kes di Sabah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai mengelak mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran sempena Hari Raya Aidiladha esok.

“Beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah dibangunkan bagi membolehkan sambutan diraikan dengan norma baharu.

“Kementerian ingin menekankan bahawa pemakaian alat pelitup muka amat digalakkan di tempat yang sesak dan sempit terutama penjarakan fizikal sukar diamalkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN