Covid-19: Satu kematian baharu - Utusan Malaysia

Covid-19: Satu kematian baharu

pelitup
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu kematian membabitkan jangkitan Covid-19 dicatatkan hari ini, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 124.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang berusia 63 tahun itu adalah warga Malaysia.

Beliau berkata, pesakit wanita berkenaan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia.

“Pesakit tersebut mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai lalu serta mendapat rawatan pada 9 Julai.

“Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut dan didapati positif Covid-19,” katanya dalam laporan harian perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Tambah Noor Hisham, keadaan pesakit tersebut semakin merosot dan kemudiannya tenat sebelum disahkan meninggal dunia hari ini pada pukul 12.04 pagi.

Perkembangan lain, daripada 13 kes baharu yang dilaporkan hari ini, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan seorang warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia. 

Kata Noor Hisham, tiga kes import tersebut adalah dari negara Pakistan sebanyak satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Kazakhstan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan Indonesia sebanyak satu kes di Kelantan.

Daripada 10 kes penularan di dalam negara, katanya, satu kes adalah dalam kalangan bukan warganegara manakala sembilan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara iaitu satu kes adalah di Johor iaitu daripada Kluster Bukit Tiram.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia pula adalah seperti Johor sebanyak  enam kes daripada Kluster Bukit Tiram; Pahang (  satu kes daripada saringan pra-prosedur); Sabah (satu kes daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-8662 dan Sarawak sebanyak  satu kes daripada Kluster Sentosa. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN