Buruh hadapi lima pertuduhan langgar kenderaan polis - Utusan Malaysia

Buruh hadapi lima pertuduhan langgar kenderaan polis

ZAIDI Baharom (lima dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang buruh menghadapi lima pertuduhan termasuk merempuh kenderaan polis pengiring Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri 11 Julai lalu.

Zaidi Baharom, 43, menghadapi empat pertuduhan di Mahkamah Majistret dan satu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan. 

Duda anak satu itu dituduh memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan dua anggota polis pengiring, menghalang penjawat awam serta memiliki 570 kilogram daun ketum dan lapan gram syabu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebutan semula untuk kes empat pertuduhan tersebut pada 28 Ogos dan 5 Oktober ini.

Majistret Kamaliza Md Zain membenarkan tertuduh diikat jamin  RM22,500, bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin.

Pada masa yang sama tertuduh juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen membawa sebilah parang anggaran panjang 45 sentimeter mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ainul Shahrin Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 28 Ogos ini.

Pada 11 Julai lalu, tiga kenderaan polis pengiring Nancy dirempuh pacuan empat roda dipandu seorang penyeludup ketum di Felda Mata Ayer, Padang Besar.

Kejadian kira-kira pukul 12.53 tengah hari itu melibatkan dua motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta peronda (MPV) polis selain turut mencederakan dua anggota polis berusia 52 dan 27 tahun yang sedang mengiringi menteri terbabit dalam lawatan seharinya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya