SEREMBAN: “Kami menyita kedai penjaja bukan bermaksud kami tidak prihatin, semuanya bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan masyarakat,” tegas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Zazali Salehudin.
Jelas beliau, tindakan MBS menyita barang perniagaan yang ditinggalkan di bahu jalan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu telah mengundang rasa tidak puas hati kepada peniaga terlibat.
“Kami tahu ada yang marah, ada yang tidak suka dengan cara begini, namun kita perlu pastikan peniaga berniaga dalam persekitaran yang selamat. Malah, ada yang cuba berniaga di lokasi bahaya seperti di tepi longkang.
“Kami mengambil tindakan atas aduan orang ramai kerana terdapat peniaga yang ingkar dan tidak mematuhi standard operasi prosedur (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Zazali, selepas PKP, pihaknya telah meluluskan sebanyak 166 lesen dalam usaha memastikan lokasi peniaga bersesuaian dan tersusun, namun masih terdapat peniaga yang ingkar.
“Bukan kami zalim dengan penjaja, kami benarkan mereka berniaga di tempat yang sesuai contohnya bawa nasi lemak yang dimasak di rumah selepas itu buka meja dan balik, bukannya memasak di kawasan itu.
“Kamu mahu mereka ikut peraturan kerana mahu pastikan peniaga mempunyai sistem kumbahan yang sesuai dan untuk mengelakkan mereka berniaga di kawasan berbahaya seperti kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Malah, katanya, pihak MBS juga telah menyediakan 36 lokasi penjaja di tempat tumpuan orang ramai di sekitar Seremban.
“Kita sediakan lokasi sesuai bagi semua penjaja bagi memastikan tempat mereka berniaga selamat.
“Antara lokasinya ialah Dataran Senawang, Bandar Prima Senawang, Pusat Bandar Senawang, tapak belakang Giant Senawang, Taman Tasik Jaya, Taman Ampangan, Taman Sri Pandan,Sikamat serta Garden Homes Fasa E dan F di Seremban Dua,” katanya.
Selain itu, kata Zazali, melalui pemerhatian pihaknya, kebanyakan peniaga masih berdegil untuk memohon lesen walaupun lesen yang dikeluarkan percuma.
“Sebahagian peniaga lebih suka memilih tapak perniagaan secara persendirian dan tapak-tapak yang dipilih tersebut tidak memenuhi syarat iaitu penggunaan tanah, menganggu lalu lintas serta mendirikan struktur tanpa kelulusan.
“Ada peniaga memohon saiz petak lebih besar berbanding yang disediakan pihak MBS iaitu 10 kali 10.
“Ada juga peniaga yang berniaga berhampiran rumah kediaman sendiri dan simpang jalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE