KOTA BHARU: Usia Muhammad Shahril Arsyad Mohd. Rosbaidi kini memasuki empat tahun, namun tidak mampu berdiri, berjalan atau bertutur seperti kanak-kanak sebaya dengannya.
Si kecil itu juga terpaksa bergantung kepada 15 jenis ubat-ubatan yang perlu dihabiskan setiap bulan bagi mengubati penyakit saraf Acute Necrotising Encephalopathy Of Childhood (ANEC) yang dideritainya.
Ibunya Sareha Ismail, 46, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu disahkan menderita ANEC selepas diserang demam panas ketika dia berusia 10 bulan.
“Penyakit itu menyebabkan kekejangan otot anggota badan. Kekejangan menyebabkan tengkuknya menjadi lembik dan tidak normal.
“Dia perlu diberi makan ubat jenis cair dan biji sekurang-kurangnya empat kali sehari. Kesemua 15 jenis ubat itu perlu dihabiskan dalam sebulan. Rutin itu berterusan setiap kali saya mendapatkan bekalan ubat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, di sini semalam.
Sareha berkata, Muhammad Shahril Arsyad juga tidak boleh makan makanan lain, kecuali minum susu Pediasure menggunakan tiub.
“Dalam sebulan saya memerlukan sebanyak empat tin susu dengan kos RM700. Secara keseluruhan, kos bulanan untuk anak saya ini mencecah RM1,000 sebulan termasuk lampin pakai buang.
“Suami saya Mohd. Rosbaidi Mohamad Nor, 48, hanya bekerja sebagai buruh dengan upah RM1,200 sebulan. Beban kami sedikit ringan apabila menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350,” katanya.
Menurut Sareha, dia dan suami terpaksa berjimat cermat kerana perlu menanggung dua lagi anak mereka iaitu Muhammad Shahril Haikal, 16, dan Nur Syazlin Aini, 10, yang masih bersekolah. – UTUSAN ONLINE