BUKIT MERTAJAM: Seorang bapa sanggup membawa dua anak lelakinya berusia tujuh dan sembilan tahun ke kawasan semak yang dijadikan ‘sarang’ melepaskan gian dadah.
Lebih malang, lelaki terbabit tergamak meninggalkan kedua-dua anaknya ketika melarikan diri apabila kawasan semak di Permatang Pauh dekat sini, diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.
Dia bagaimanapun berjaya meloloskan diri dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin.
Pengarah AADK negeri, Elmariah Chung berkata, dalam Op Bersepadu itu, dua lagi penagih dadah yang sedang melepaskan gian berjaya ditahan.
“Kanak-kanak itu dibawa bapa mereka untuk menghisap dadah di kawasan semak yang sering menjadi tumpuan penagih dadah, tetapi melarikan diri sewaktu serbuan dilakukan.
“Kita menyelamatkan kanak-kanak itu dan menghantar mereka kepada keluarga terdekat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Elmariah berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua individu yang ditahan turut positif dadah.
Katanya, kawasan belukar itu dikesan pihaknya hasil risikan dan maklumat awam dijadikan lokasi aktif bagi aktiviti penagihan dadah sejak seminggu lalu.
“Kedua-dua penagih ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998,” katanya. – UTUSAN ONLINE