Bapa bawa 2 anak ke 'port' hisap dadah - Utusan Malaysia

Bapa bawa 2 anak ke ‘port’ hisap dadah

DUA beradik lelaki berusia sembilan dan tujuh tahun ditinggalkan bapa mereka di kawasan semak di Permatang Pauh selepas lokasi menghisap dadah itu diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang bapa sanggup membawa dua anak lelakinya berusia tujuh dan sembilan tahun ke kawasan semak yang dijadikan ‘port’ melepaskan gian. 

Lebih malang, bapa terbabit tergamak meninggalkan kedua-dua anaknya itu ketika melarikan diri selepas kawasan semak di Permatang Pauh dekat sini, diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.

Bapa terbabit berjaya meloloskan diri dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang semalam itu.

Pengarah AADK negeri, Elmariah Chung berkata, dalam Op Bersepadu itu, dua lagi penagih dadah yang sedang melepaskan gian berjaya ditahan.

“Kanak-kanak itu dibawa bapa mereka untuk menghisap dadah di kawasan semak yang sering menjadi tumpuan penagih dadah, tetapi melarikan diri sewaktu serbuan dilakukan.

“Kita menyelamatkan kanak-kanak itu dan menghantar mereka kepada keluarga terdekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Elmariah berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua individu yang ditahan turut positif dadah.

Katanya, kawasan belukar itu dikesan pihaknya hasil risikan dan maklumat awam dijadikan  lokasi aktif bagi aktiviti penagihan dadah sejak seminggu lalu.

“Kedua-dua penagih ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN