SEREMBAN: Penduduk Taman Matahari Indah, Senawang di sini mahu Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengatasi masalah anjing liar yang mengancam keselamatan mereka.
Mereka mendakwa terdapat kes kanak-kanak digigit dan yang terbaharu berlaku, kelmarin melibatkan kanak-kanak empat tahun cedera ketika bermain di taman permainan.
Penduduk di situ, Ahmad Zaini Baharun, 53, berkata, terdapat kira-kira 18 ekor anjing yang sering berkeliaran di taman permainan kanak-kanak, rumah kosong dan lorong kediaman.
“Anjing-anjing tersebut berkeliaran dan tidur di taman permainan kanak-kanak, rumah kosong, tangki air, kolam takungan dan lorong kediaman penduduk.
“Anjing-anjing itu buas dan menyerang kanak-kanak yang bermain di taman permainan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Zaini berkata, penduduk kerap membuat aduan kepada pihak berkuasa, namun hanya sebilangan kecil sahaja anjing yang ditangkap.
“Saiz anjing tersebut juga agak besar dan terdapat gelang di leher dipercayai adalah anjing peliharaan dan sering bergerak dari satu taman ke taman yang lain untuk satu tempoh tertentu,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Zazali Salehudin ketika dihubungi berkata, pihaknya telah melantik dua kontraktor untuk menangkap anjing yang berkeliaran di kawasan awam.
“Kontraktor ini menjalankan operasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat mengikut kawasan yang telah ditetapkan di antara pukul 8 pagi hingga 5 petang.
“Sehingga kini, jumlah tangkapan di Taman Matahari Indah dan sekitarnya bagi tahun ini adalah 12 ekor. Pihak kami telah menerima 16 aduan di Taman Matahari Indah berkaitan anjing liar bagi tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Zazali turut menasihatkan penduduk mengamalkan kebersihan kerana antara faktor kehadiran anjing liar adalah untuk mencari sisa-sisa makanan.
“Penduduk yang memelihara anjing juga dinasihatkan mengambil lesen dan mematuhi syarat yang telah ditetapkan seperti tidak melepaskan anjing ditempat awam tanpa kawalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE