LIPIS: Dua maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di kilometer 22 Jalan Sungai Koyan-Ringlet di sini dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang hari ini.
Mangsa ialah anggota tentera laut, Muhammad Shakirin Salimi, 20, dan Orang Asli, Saiful Rasif, 21.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Nor berkata, kejadian berlaku ketika anggota tentera berkenaan dalam perjalanan pulang bercuti dari Lumut, Perak menuju ke Kuala Lipis.
“Sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125LC bertembung dengan motosikal Yamaha 125ZR.
“Akibat pertembungan, kedua-dua penunggang motosikal terbabit maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, siasatan awal mendapati jalan di lokasi kejadian lurus dan permukaan kering serta cuaca baik. – UTUSAN ONLINE