Amaran tegas kepada anggota Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

Amaran tegas kepada anggota Maritim Malaysia

MOHD. Zubil Mat Som (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan tugas antara Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid (kanan) kepada Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria sebagai Pegarah Maritim Negeri Johor (kiri) di Majlis Serah Terima Tugas di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Awas! Pergerakan anda sentiasa dipantau.

Demikian ingatan tegas Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd. Zubil Mat Som kepada semua warga agensi penguatkuasaan itu agar tidak bersekongkol terutama melibatkan jenayah rentas sempadan.

Katanya, peringatan itu dibuat memandangkan terdapat peningkatan kes dalam kalangan pegawai dan anggota yang ditangkap kerana didakwa terlibat dalam jenayah berkenaan sejak kebelakangan ini.

“Saya beri amaran kepada pegawai dan anggota, khususnya di Johor kerana negeri ini merupakan ‘hotspot’. Lokasinya yang dekat dengan negara jiran membolehkan kemasukan mudah pendatang asing tanpa izin.

“Setiap pergerakan keluar masuk bot peronda dan serta kru terlibat dicatat serta dipantau. Sekiranya ada perlakuan yang menyalahi undang-undang, kita akan dapat kesan.

“Ingin ditegaskan bahawa kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang didapati bersekongkol dengan penjenayah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri Johor di sini hari ini.

Mohd. Zubil berkata, namun setakat ini tiada kes melibatkan pegawai dan anggota penguatkuasa Maritim Malaysia yang ditahan kerana terlibat dengan sindiket jenayah.

Menurutnya, perkara tersebut turut dibantu Unit Risikan Maritim Malaysia yang mengambil langkah pencegahan dengan menyiasat sebarang salah laku yang mungkin melibatkan anggotanya di peringkat awal.

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia negeri yang baharu, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria pula memberitahu, pihaknya mahu setiap anggota Maritim Malaysia mendokong prinsip dan integriti dalam menjalankan tugas.

“Prinsip dan integriti adalah tunjang keperibadian kita. Jika dalam diri seseorang individu terdapat dua perkara berkenaan, dia akan terhindar daripada aktiviti tidak bermoral seperti kebocoran maklumat, rasuah dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya