KUANTAN: Lebih sejuta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT-1) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula esok hingga 2 Ogos ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, jumlah trafik di dua lebuh raya kendalian ANIH itu dijangka meningkat lebih 50 peratus setiap hari berbanding kira-kira 156,000 kenderaan yang direkodkan pada hari biasa.
“Lonjakan trafik ini berlaku berikutan orang ramai akan mengambil peluang pulang ke kampung halaman susulan perjalanan rentas negeri dibenarkan sempena Aidiadha pada Jumaat ini.
“Orang ramai yang bakal merentas negeri diingatkan merancang perjalanan dengan merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dikeluarkan ANIH Berhad di Twitter @LPTTrafik dan Facebook LPT bagi melancarkan perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nik Fauzi, TTA dikeluarkan bagi membantu pengguna merujuk waktu perjalanan yang sesuai sebelum memulakan perjalanan dan mengelak bertembung pada satu masa di plaza tol khususnya Plaza Tol Gombak, Bentong dan Karak.
Dalam pada itu, katanya, semua kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di LPT1 dan KLK akan dibuka kepada pengguna dengan penerapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah penjarakan sosial.
Jelasnya, kemudahan R&R dan hentian sebelah akan ditutup sementara sekiranya didapati penuh dalam satu-satu masa bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.
“Syarikat mengingatkan orang ramai pembukaan semua kemudahan awam di R&R dan hentian sebelah sepanjang lebuh raya kendalian ANIH Berhad dibuat mengikut SOP selaras arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE