KUALA TERENGGANU: Sebanyak 776 lot tanah perindustrian di negeri ini yang dikenal pasti tidak aktif bakal berdepan tindakan termasuk dirampas semula.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya kini dalam proses pemutihan dengan giat melakukan penyelarasan dan pemantauan ke atas lot-lot tanah tersebut.
“Ada tanah berkenaan yang dikesan sudah 20 tahun hingga 30 tahun tidak diusahakan.
“Kita telah menubuhkan jawatankuasa khas yang akan melihat dari segi perundangan. Apabila proses ini selesai, tindakan akan diambil kepada pemilik terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian usahasama Pembangunan Terengganu Ecocycle antara Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan TA Win Holdings Berhad di Hotel Primula di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tengku Hassan berkata, Terengganu membangunkan sistem SmartMap yang merupakan pangkalan data sistematik bagi kawasan-kawasan perindustrian di negeri ini.
Katanya, SmartMap yang turut digunakan dalam proses pemutihan lot tanah tidak aktif itu antara lain berfungsi memberi maklumat mengenai aktiviti dan status kawasan perindustrian di negeri ini dan menjana laporan mengenai kemajuannya.
“Di samping itu, sistem pintar ini menyimpan maklumat berkaitan dengan perancangan, pembangunan dan pemantauan aktiviti tanah perindustrian.
‘Ia sekali gus mempercepat proses permohonan dan pemantauan yang lebih efektif serta kawalan pembangunan lebih terancang,” katanya. – UTUSAN ONLINE