700 murid Orang Asli gagal hadir ke sekolah  - Utusan Malaysia

700 murid Orang Asli gagal hadir ke sekolah 

KEADAAN jalan balak di kawasan Perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 700 murid Orang Asli di daerah ini gagal hadir ke sekolah bermula semalam akibat jalan rosak teruk.

Murid Orang Asli berkenaan belajar di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop, SK Tohoi dan SK Bihai yang menggunakan jalan balak sebagai laluan utama.

Pegawai Pendidikan Daerah, Azuri Hamzah berkata, murid-murid terbabit gagal ke sekolah  kerana jalan balak rosak dan jambatan runtuh. 

Katanya, sebilangan besar guru di tiga sekolah terbabit juga terkandas dan terpaksa tinggal di rumah transit guru di Kampung Kuala Betis. 

“Ketika ini terdapat 68 murid Orang Asli yang boleh meneruskan pembelajaran di tiga sekolah terbabit kerana mereka tinggal di asrama sejak sekolah dibuka 15 Julai lalu. 

“Seramai 21 murid tinggal di SK Hendrop, SK Tohoi (23)  dan SK Bihai (24). Selebihnya  berulang ke sekolah setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. 

Azuri berkata, sebanyak 21 murid Orang Asli yang tinggal di asrama SK Hendrop juga terpaksa dipindahkan ke tempat selamat selepas kejadian banjir lumpur kelmarin.

Katanya, kawasan tepi sekolah dan asrama yang terletak di tebing sungai semakin bahaya kerana berlaku hakisan.

“Kita akan memantau keadaan itu dan mengawasi keselamatan murid agar tidak berlaku kejadian tidak diingini. 

“Kita berharap murid yang terkandas di kampung masing-masing boleh datang ke sekolah apabila jalan dan jambatan rosak dibaiki semula dalam masa terdekat,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN