MELAKA: Masih ingkatkah fenomena ‘masak apa tak jadi hari ini’ atau perkongsian ‘satu hari satu resepi’ ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan di seluruh negara pada 18 Mac lalu?
Situasi itu cukup menggambarkan betapa orang ramai yang terpaksa ‘berkurung’ di rumah, menghabiskan banyak masa ke dapur mencuba resepi masakan yang dikongsi di media sosial.
Tidak hairanlah apabila permintaan bahan mentah termasuk belacan meningkat. Ini kerana, menjadi kebiasaan setiap masakan bergoreng menggunakan belacan bagi menambah rasa makanan.
Tempias tersebut turut dirasai pengusaha belacan di negeri ini yang terpaksa meningkatkan pengeluaran sehingga 30 peratus berikutan permintaan tinggi daripada pemborong dan penjual.
Pengurus Belacan Maklong Tanjung, Mohd. Azmi Doraman, 41, berkata, dia dan isteri, Zurinah Mat Chalit, 43, bersyukur di sebalik kesukaran sepanjang PKP lalu, perniagaan mereka masih beroperasi seperti biasa.
Dengan mengehadkan jumlah pekerja pada satu-satu masa, Mohd. Azmi berkata, dia sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pengeluaran tidak terputus.
“Belacan keluaran kami menggunakan 100 peratus udang geragau dan air garam tanpa bahan pengawet atau perisa tambahan. Ia dibuat secara tradisional sejak turun-temurun,” katanya ketika ditemui semalam.
Perniagaan diwarisi hampir 54 tahun itu mempunyai kira-kira 200 ejen jualan di seluruh negara selain mendapat permintaan di Singapura dan Brunei.
Ujar Mohd. Azmi, bagi menampung permintaan beribu-ribu ketul belacan setiap bulan, mereka memerlukan hampir empat tan udang geragau agar pengeluaran berada pada tahap normal.
Bagaimanapun, dia mengakui bekalan udang geragau di negeri ini semakin sukar didapati sejak beberapa tahun kebelakangan sehingga mereka terpaksa mengimport bekalan dari Selangor, Johor dan Perak.
“Mungkin disebabkan aktiviti tambak laut. Kaedah tangkapan udang geragau di Melaka berbeza dengan negeri-negeri lain. Di sini, kita hanya menggunakan kaedah tradisional iaitu menyungkur.
“Jadi, hasil yang diperolehi hanya dalam puluhan kilogram, berbanding kaedah tangkapan di negeri lain menggunakan pukat tunda yang mampu memperoleh hasil bertan-tan,” katanya. – UTUSAN ONLINE