Rohingya ‘kuasai’ Teluk Kumbar? - Utusan Malaysia

Rohingya ‘kuasai’ Teluk Kumbar?

KAWASAN perikanan Teluk Kumbar, Pulau Pinang didakwa semakin dipenuhi nelayan etnik Rohingya termasuk yang berpindah dari Bukit Malut, Langkawi, Kedah, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK KUMBAR: Daripada ha­nya beberapa buah keluarga kira-kira 10 tahun lalu, etnik Rohingya di perkampungan nelayan Teluk Kumbar kini bertambah hampir 300 buah keluarga.

Malah, pertambahan penduduk warga Myanmar di perkampungan nelayan terbabit didakwa semakin pantas sejak kebelakangan ini sekali gus menimbulkan keresahan penduduk tempatan.

Bukan itu sahaja, majoriti mereka yang bekerja sebagai nelayan turut didakwa menjejaskan pendapatan nelayan di situ yang kini terpaksa pula bersaing dengan ‘orang luar’.

Bagi Bakri Bakar, 54, kewujudan nelayan Rohingya di Teluk Kumbar itu sebelum ini bukan sesuatu yang asing dalam kalangan penduduk dan nelayan tempatan sejak beberapa tahun lalu.

Namun, katanya yang lebih 30 tahun sebagai nelayan di situ, pertambahan jumlah mereka semakin mendadak sejak akhir-akhir ini mula mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan nelayan tempatan.

Tambahnya, difahamkan kebanyakan nelayan Rohingnya itu tidak mempunyai lesen dan permit perikanan yang sah namun bebas menangkap ikan di perairan negeri ini.

“Kami tidak ada masalah berkongsi hasil laut dengan mana-mana nelayan sekali pun, tetapi biarlah dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Jika kami perlu berdaftar dan mematuhi semua syarat ditetapkan kerajaan untuk turun ke laut, mengapa kumpulan nelayan Rohingya itu seperti bebas dan boleh menangkap ikan sesuka hati,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

DIfahamkan, kumpulan nelayan etnik Rohingnya itu mula menyewa di sekitar Teluk Kumbar termasuk di rumah-rumah flat selain ada yang tidur di dalam sampan masing-masing.

Bakri berkata, penduduk tempatan turut bimbang masalah sosial dan penyalahgunaan dadah yang dibawa etnik berkenaan.

Sementara itu, Saidin Othman, 40-an berkata, meskipun tidak mempunyai lesen dan permit sah, etnik Rohingya mampu menggunakan sampan dengan enjin lebih tinggi.

Keadaan itu, tambahnya, membolehkan nelayan Rohingya berkenaan menangkap ikan di kawasan laut lebih dalam dan membawa hasil pulangan lebih banyak.

Kumpulan nelayan itu juga seolah-olah bekerja 24 jam sehingga ketika tengah malam dan mengaut hasil tanpa henti.

“Kadang-kadang bot berkuasa tinggi mereka juga menyebabkan kerosakan kepada pukat-pukat nelayan pantai sekali gus me­ngakibatkan kerugian,” katanya.

Saidin menggesa pihak berkuasa memantau kemasukan nelayan etnik Rohingya berkenaan supaya tidak terus menjejaskan nelayan tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya