PADANG BESAR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri merampas 53 tan metrik pelbagai jenis buah dan sayur dianggarkan bernilai RM67,680 di pintu sempadan Malaysia-Thailand, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, semalam.
Barangan pertanian itu yang dikesan menggunakan label mengelirukan dirampas ketika melalui kawasan tersebut dengan lima lori dan dua kenderaan pacuan empat roda.
Maqis dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan mendapati barangan pertanian seperti timun, sawi, mangga, buah mata kucing dan beberapa jenis buah lain menggunakan label yang tidak mematuhi standard ditetapkan.
“Malah ada barangan menggunakan label bertulisan tangan selain penggunaan label bersaiz kecil dan kelihatan mengelirukan pengguna,” katanya.
Menurut kenyataan itu, enam pemandu berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap orang dengan barangan dagangan tersebut dirampas untuk tindakan lanjut.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
“Maqis ingin mengingatkan semua yang terbabit dalam aktiviti import barangan dagangan pertanian supaya memastikan produk bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE